All News

PROGRAM KENALI BARANGAN ‘RECYLE’ MENDIDIK 200 PELAJAR SEKOLAH KEBANGSAAN KODIANG MENJAGA ALAM SEKITAR

PROGRAM KENALI BARANGAN ‘RECYLE’ MENDIDIK 200 PELAJAR SEKOLAH KEBANGSAAN KODIANG MENJAGA ALAM SEKITAR

IPQUUM telah bekerjasama dengan E-Idaman Sdn. Bhd bagi membantu komuniti dalam meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam menguruskan sumber alam. Perkongsian ilmu berkaitan bahan kitar semula dalam penganjuran program bertajuk “Mengenal Bahan Kitar Semula” bagi menyokong program berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, SDG 12 – Penggunaan dan Penghasilan Yang Bertanggungjawab, SDG 13 – Tindakan Iklim dan SDG 17 – Rakan Kerjasama Bermatlamat.

Seramai 200 orang pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Kodiang (SKK), Kedah telah diberi pendedahan berkaitan pengkelasan bahan kitar semula dan sisa pepejal. Program telah diadakan pada 6 Julai 2023 di Dewan Aktiviti Sekolah Kebangsaan Kodiang yang turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador, Timbalan Pengarah Bahagian Kualiti, IPQUUM.

Menurut penceramah jemputan En. Muhammad Mukhrizani Mahmud, Eksekutif Korporat E-Idaman, pengenalan kepada jenis bahan kitar semula amat penting diperkenalkan  kepada pelajar sekolah rendah untuk mengelakkan pengurusan alam dari tercemar. Beliau juga memberi penerangan mengenai penggunaan semula bekas plastik yang sangat bahaya kepada pengguna.

Cikgu Azrul Abd Khatib, Guru Besar SKK dalam ucapan aluannya, mengucapkan ribuan terima kasih kerana IPQ sudi bekerjasama dan memberi sokongan padu dalam memperkasakan pendidikan dan amalan kitar semula agar bumi yang kita pinjam dari generasi akan datang ini, dapat dikembalikan kepada mereka seindah dan sehijau mungkin.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi soal jawab kepada pelajar. Interaksi yang sangat agresif oleh pelajar dapat membantu IPQUUM mencapai objektif program. Program berakhir dengan sesi penyampaian cenderamata oleh Tuan Guru Besar SKK kepada Timbalan Pengarah IPQUUM dan penceramah E-Idaman Sdn. Bhd.