All News

SISTEM PENGURUSAN KUALITI UUM MENJADI PENANDA ARAS UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK)

SISTEM PENGURUSAN KUALITI UUM MENJADI PENANDA ARAS UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK)

Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menerima lawatan penanda aras daripada delegasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai oleh Pengarah, Pusat Pengurusan Kualiti (PPQ), Ts. Dr. Hasnita Che Harun.

Ketibaan lapan wakil UMK terdiri daripada Unit Pengurusan Kualiti, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan bersama Pengarah dan pengurusan Pusat Pengurusan Kualiti (PPQ) itu disambut oleh Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd. Hanif Jedin; Timbalan Pengarah, Bahagian Pentadbiran Faizah Hashim dan Penolong Pengarah, Siti Hajar Mat Isa.

Dr. Mohd. Hanif berkata, inisiatif lawatan penanda aras UMK itu bertujuan untuk mendalami sistem pengurusan kualiti yang dipraktikkan di UUM terutamanya dalam aspek pematuhan standard MS ISO 9001:2015.

1

Delegasi diberi taklimat tentang Sistem Pengurusan Kualiti UUM yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Bahagian Kualiti IPQ, Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador.

Perkongsian pengalaman UUM dalam mengekalkan pensijilan ISO selama lebih 20 tahun menyuntik semangat delegasi UMK untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi Audit Pensijilan ISO 9001:2015 buat pertama kali pada tahun ini.

Menurut Ts. Dr. Hasnita, perbincangan secara fizikal dengan pengurusan IPQ UUM telah memberi gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh tentang kaedah yang dilaksanakan oleh UUM dalam meningkatkan jaminan kualiti akademik serta pelaksanaan sistem pengurusan kualiti di UUM.

Lawatan tersebut menjadi platform kepada UMK untuk memastikan sistem kualiti di universiti berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.