All News

UUMIT johan Mini Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2023

UUMIT johan Mini Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2023

Kumpulan PLEXUS-UUMIT telah berjaya menarik minat panel juri untuk bergelar johan Mini Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat UUM anjuran Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) yang diadakan pada 30 Oktober lalu di Bilik Mesyuarat Eksekutif IPQ.

PLEXUS-UUMIT membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500 dan sijil; diikuti naib johan oleh Kumpulan IM BRAVO-IMBRe dan tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan ASIVATE-PAP di mana masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM300 dan RM200 serta sijil.

Pengarah IPQ, Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin berkata, penganjuran KIK ini mampu memberi impak besar serta signifikan kepada UUM dan berharap pada tahun hadapan terdapat banyak kumpulan yang akan menyertai pertandingan ini.

Menurutnya, KIK merupakan usaha berterusan UUM untuk menerapkan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan warga universiti serta pemilihan kumpulan KIK yang terbaik untuk mewakili UUM di peringkat universiti awam.

“Kreativiti dan inovasi amat penting bagi mewujudkan persekitaran pekerjaan yang berdaya maju dan kompetitif agar dapat bersaing dalam dunia yang semakin mencabar serta menjadikan pencapaian itu sebagai satu inspirasi untuk terus menjana idea-idea kreatif serta meningkatkan prestasi jabatan masing-masing,” katanya.

Jemputan juri terdiri daripada Prof. Madya Dr. Azrul Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis merangkap sebagai Ketua Juri dan Prof. Madya Dr. Logasvathi A/P Murugiah yang mewakili juri UUM.

Mini Konvensyen KIK UUM pada tahun ini disertai oleh lima kumpulan dari jabatan/pusat pengajian iaitu kumpulan IM BRAVO – Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe); kumpulan ASIVATE – Pusat Asasi Pengurusan (PAP); kumpulan SETTEL – Penerbit UUM (UUM PRESS); kumpulan PLEXUS – UUMIT dan kumpulan SMMTCians – Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi (SMMTC).

Sebanyak enam anugerah yang dipertandingkan termasuk Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Visual Terbaik serta Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik.

Anugerah Visual Terbaik dimenangi oleh SMMTCians – SMMTC, Anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh kumpulan SETTEL – UUM PRESS dan Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik dimenangi oleh kumpulan PLEXUS – UUMIT.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Dr. Mohd Haniff.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Bahagian Kualiti), Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador dan Timbalan Pengarah (Bahagian Pentadbiran dan Kewangan), Dr. Khofizhoah Mohd Karim.