IPQ ANJUR FORUM KUPAS ISU-ISU KUALITI DI UNIVERSITI AWAM

on .

Dalam usaha untuk mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan lagi aspek kualiti di Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menganjurkan Forum Isu-Isu Kualiti Di Universiti bersama Pengurusan Tertinggi dan mantan-mantan Pengarah IPQ di Dewan Seminar Pusat Islam, semalam.

Objektif forum yang pertama kali dianjurkan ini adalah sebagai medium perkongsian pengalaman berkaitan kualiti universiti, membincangkan isu-isu semasa berkaitan kualiti di universiti awam, membincangkan kaedah-kaedah bagi meningkatkan kualiti UUM dan peranan IPQ, serta mewujudkan interaksi sihat dalam kalangan staf bersama pihak pengurusan.

Forum ini membariskan tiga ahli panel iaitu Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof Dr Yusnidah Ibrahim, dua mantan Pengarah IPQ, Prof Dr Sany Sanuri Mohd Mokhtar dan Prof Dr Zakaria Abas dan dikendalikan oleh Pengurus Daya Saing Nasional & Global IPQ, Prof Dr K. Kuperan a/l K.V.S.N Viswanathan.

Pengarah IPQ, Prof Madya Dr Faudziah Zainal Abidin berkata forum tersebut adalah sebagai penghormatan kepada mantan-mantan Pengarah IPQ yang telah meletakkan kualiti di mana ia berada hari ini

"Selain sebagai penghormatan, forum ini juga memberi peluang kepada mantan-mantan Pengarah IPQ untuk berkongsi pandangan mengenai kualiti dari pespektif masing-masing," katanya.

Menurutnya lagi membina budaya kualiti dalam sesebuah organisasi bukan perkara mudah tetapi ianya tidak mustahil, justeru tambahnya IPQ amat mengutamakan penambahbaikan berterusan dan berusaha untuk memberi kesedaran berkaitan aspirasi kualiti universiti kepada setiap warga UUM demi memenuhi keperluan pemegang taruh.

Antara persoalan berkaitan kualiti yang dijawab panelis forum ini adalah definisi kualiti di universiti, bagaimana mengukur kualiti dan pemahaman pelajar terhadap kualiti universiti.