UUM MELONJAK 200 ANAK TANGGA DALAM TIMES HIGHER EDUCATION WORLD UNIVERSITY RANKINGS 2019

on .

Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi membuat lonjakan besar dengan peningkatan sebanyak 200 anak tangga kepada kedudukan 801-1000 dalam senarai terbaharu Times Higher Education World University Rankings (THEWUR) 2019 berbanding kedudukan 1001+ pada THEWUR 2018.

Senarai baharu yang dikeluarkan semalam itu sekali gus meletakkan UUM di kedudukan kelima dari kelompok Universiti Awam (UA) dan kedudukan ketujuh dalam kalangan semua universiti di Malaysia, naik dua anak tangga dari kedudukan ke-9.

Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau gembira dan bangga di atas lonjakan besar UUM dalam THEWUR 2019 kali ini.

"Ini adalah satu pencapaian hebat, hasil kerja keras semua warga universiti bagi menjulang kecemerlangan UUM di persada dunia dan juga nasional, malah pencapaian ini juga menunjukkan bahawa UUM boleh berada setaraf dengan Universiti Penyelidikan (RU) lain apabila UPM dan juga UNITEN turut berkongsi kedudukan tersebut.

"Saya berharap momentum ini dapat diteruskan dan dikekalkan supaya kedudukan UUM akan terus meningkat, selain berusaha untuk menginsankan pendidikan," katanya.

THEWUR mengguna pakai 13 indikator yang dikelompokkan kepada lima (5) kategori dalam menilai sesebuah universiti iaitu Teaching (the learning environment) sebanyak 30 peratus, Research (volume, income and reputation) sebanyak 30 peratus, Citations (research influence) sebanyak 30 peratus, International outlook (staff, students and research) sebanyak 7.5 peratus, dan Industry income (knowledge transfer) sebanyak 2.5 peratus.

Sepertimana edisi yang lepas, International outlook merupakan kategori terbaik bagi UUM apabila disenaraikan di kedudukan ke-453 dunia yang mana tiga indikator diambil kira dalam kategori ini ialah jumlah pelajar antarabangsa, staf antarabangsa dan kerjasama antarabangsa (penerbitan bersama dengan penulis antarabangsa).

Pada edisi kali ini, sebanyak 1,258 institusi seluruh dunia telah disenaraikan termasuk UUM dan keputusan penuh THE World University Rankings telah diterbitkan melalui portal https://www.timeshighereducation.com.