PROJEK KIK – PSB, IPQ dan JPP layak ke USIM

on .

Pada 25 – 26 Februari 2015, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah berjaya menganjurkan Mini Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Peringkat Universiti di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mini Konvensyen KIK ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Hassan Ali. Semasa ucapan perasmian, beliau berharap agar semua staf di UUM dapat menjadikan inovasi sebagai satu budaya dan pada tahun hadapan semua Pusat Pengajian akan dapat melibatkan diri dalam pertandingan mini konvensyen ini. Beliau turut menegaskan bahawa kecemerlangan UUM amat bergantung kepada inovasi dan kreativiti PTJ dalam memenuhi kehendak stakeholders. “Saya mengharapkan semua ketua Pusat Tanggungjawab dapat membentuk pasukan KIK masing – masing, ini kerana masa depan UUM bergantung kepada kecekapan sistem penyampaian”. Tambahnya lagi, KIK merupakan salah satu platform terbaik untuk PTJ meningkatkan kecekapan sistem penyampaian tersebut.

Sebanyak 14 kumpulan dari pelbagai Pusat Tanggungjawab telah menyertai Mini Konvensyen KIK Peringkat Universiti ini. Pada tahun ini terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori pengurusan yang terdiri daripada 12 kumpulan manakala kategori teknikal terdiri daripada 2 kumpulan.

Tujuan utama Mini Konvensyen KIK ini diadakan adalah untuk mencungkil idea reka bentuk dan inovasi di kalangan kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) serta menjadikan kakitangan UUM kreatif dan menyumbangkan hasil kreativiti mereka dengan menerapkan idea dalam sistem yang berfungsi atau produk untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam aktiviti latihan.

Majlis penutup Mini Konvensyen KIK telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim. TNC HEPA dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada semua kumpulan yang bertanding dan mengharapkan UUM terus berinovasi kerana kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada kegagalan. Beliau turut memberi contoh syarikat multi nasional seperti Kodak yang telah bankrap akibat kegagalan untuk berinovasi. Mini konvenyen KIK yang berlangsung selama 2 hari ini diakhiri dengan upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang. Para pemenang untuk tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Mini Konvenyen KIK Peringkat Universiti, Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti (5S/QE) Peringkat Universiti dan juga pertandingan mencipta logo 5S Universiti.

Bagi kategori Mini Konvensyen KIK, johan adalah Kumpulan Smarty dari Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), naib johan Kumpulan Energetic dari Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) dan tempat ketiga Kumpulan G-10 dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP). Johan menerima wang tunai bernilai RM 5,000 beserta sijil, naib johan menerima wang tunai bernilai RM 3,000 beserta sijil dan tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM 2,000 beserta sijil.

Bagi Anugerah Persembahan Terbaik telah dimenangi oleh Pusat Budaya dan Seni (PBS), Anugerah Inovasi Terbaik dimenangi oleh Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) dan bagi Anugerah Fasilitator Terbaik telah dimenangi oleh Cik Hanie Azyyati Abdul Jamil daripada Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB). Masing-masing menerima wang tunai bernilai RM 300 beserta sijil.

Manakala bagi Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti (5S/QE), terdapat 3 kategori jabatan yang dipertandingkan iaitu kategori Jabatan A, Jabatan B, Pusat Pengajian (PP) dan Dewan Penginapan Pelajar (DPP). Bagi kategori Jabatan A, johan dimenangi oleh Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), naib johan dimenangi oleh UUM Press dan tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU). Johan menerima wang tunai bernilai RM 3,000 beserta sijil, naib johan menerima wang tunai bernilai RM 2,500 beserta sijil dan tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM 2,000 beserta sijil.

Kategori Jabatan B, johan dimenangi oleh Pusat Budaya dan Seni (PBS), naib johan dimenangi oleh Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) dan tempat ketiga dimenangi oleh Institut Pembangunan dan Keusahawanan. Johan menerima wang tunai bernilai RM 2,500 beserta sijil, naib johan menerima wang tunai bernilai RM 2,000 beserta sijil dan tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM 1,500 beserta sijil.

Kategori Pusat Pengajian, johan dimenangi oleh Pejabat Penolong Naib Canselor UUM COB, naib johan dimenangi oleh Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan tempat ketiga dimenangi oleh Pusat Pengurusan Teknologi dan Logistik.

Bagi kategori Dewan Penginapan Pelajar (DPP), johan dimenangi oleh DPP Sime Darby, naib johan dimenangi oleh DPP Maybank dan tempat ketiga dimenangi oleh DPP Bank Rakyat. Johan menerima wang tunai bernilai RM 2,000 beserta sijil, naib johan menerima wang tunai bernilai RM 1,500 beserta sijil dan tempat ketiga menerima wang tunai bernilai RM 1,000 beserta sijil. Anugerah keseluruhan bagi Penilaian Amalan Persekitaran Berkualiti (5S/QE) telah dimenangi oleh Pusat Budaya dan Seni (PBS).

Manakala bagi pertandingan mencipta logo 5S Universiti, johan dan naib johan telah dimenangi oleh staf UUM iaitu En. Mohamad Ridzwan Azizan dan Pn. Siti Fatimah Yusof daripda Pusat Komputer dan tempat ketiga dimenangi oleh pelajar UUM iaitu Cik Halimaton Maslan. Johan, naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai bernilai RM 300, RM 200 dan RM 100.

Pihak IPQ ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dalam menjayakan Mini Konvensyen KIK Peringkat Universiti bagi tahun 2014 ini. Segala bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan mini konvensyen ini adalah amat dihargai.