LAWATAN MUHIBBAH UNIT KIK POLITEKNIK SEBERANG PERAI KE INSTITUT PENGURUSAN KUALITI UUM

on .

Pada 30 Julai 2018 (Ahad), Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) telah menerima lawatan dari Unit KIK Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. Lawatan ini telah melibatkan seramai 38 orang yang terdiri daripada kalangan pensyarah dan pentadbir.

Puan Fazilatul Haida selaku ketua delegasi Politeknik memaklumkan program KIK ini diadakan untuk perkongsian dan pertukaran idea bagi menghasilkan kaedah penambahbaikan dan penyelesaian masalah dalam membantu meningkatkan kualiti pengurusan politeknik dan universiti. Fokus utama lawatan ini adalah untuk berkongsi pengetahuan dalam pengendalian projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang dikendalikan oleh IPQ UUM.

Lawatan ini telah disambut oleh Pengurus Bahagian Sistem Kecemerlangan Kualiti iaitu Dr. Logasvathi Murugiah. Dalam ucapan aluannya, beliau telah berkongsi latar belakang dan fungsi IPQ di UUM.

Program diteruskan dengan taklimat pengenalan KIK di UUM oleh Puan Siti Hajar Mat Isa. Dalam taklimat tersebut, beliau berkongsi peranan IPQ dalam meningkatkan mutu perkhidmatan dan produktiviti serta pembudayaan KIK di UUM. Semasa taklimat tersebut, Unit KIK Politeknik juga telah berkongsi produk KIK mereka yang telah dipatenkan serta dikomersialkan iaitu set lengkap untuk penyembelihan.

Program diakhiri dengan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua belah pihak. IPQ berharap lawatan muhibbah seperti ini dapat diteruskan bagi perkongsian ilmu dan pengetahuan selain dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua organisasi yang melaksanakan KIK.